Kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya dan pegawai pertahanan Amerika berkata, serangan 
itu dipercayai mengakibatkan kerosakan besar.


Dalam serangan tersebut, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan 
udara Libya, lapor AP.

Para pegawai pertahanan Amerika berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan serangan tersebut, tetapi berasaskan kepada ketepatan sasaran peluru yang dilancarkan, mereka merasakan ia 
mengakibatkan kerosakan teruk ke atas pertahanan udara Libya.

Pegawai berkenaan tidak mahu disebut namanya kerana misi serangan tersebut masih berterusan.
Ketika mengumumkan misi serangan tersebut ketika melawat Brazil, Presiden Barack Obama berkata beliau keberatan mengambil langkah ketenteraan tetapi yakin ianya perlu untuk menyelamatkan 
nyawa orang awam.

Obama mengulangi bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika memasuki Libya.
“Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya 
bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka,” katanya di Brasilia.

Setakat ini, Amerika dilihat menghadkan peranannya dalam campurtangan di Libya, dengan fokus pertamanya untuk melumpuhkan pertahanan udara Libya, dan kemudian menyerahkan kepada negara-negara Eropah dan mungkin negara-negara Arab untuk menguatkuasakan zon larangan 
terbang di atas ruang udara negara Afrika Utara

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan bahawa serangan peluru berpandu itu
adalah permulaan kempen yang dikenali sebagai ‘Operation Odyssey Dawn’.

Katanya, matlamatnya ialah untuk menghalang tentera Muammar Gadhafi daripada melakukan lebih banyak keganasan ke atas orang awam – terutama di dalam dan di sekitar kubu pemberontak di Benghazi — dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan Libya untuk mencabar zon larangan terbang